Sembilan lagi warga asing kena hukum
KUALA LUMPUR, Isnin: Sembilan lagi pendatang tanpa izin, termasuk dua wanita di Sabah dan Johor dihukum mengikut Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002), hari ini.
Ini menjadikan setakat ini, 17 pendatang tanpa izin yang dikenakan hukuman mengikut undang-undang baru itu, yang mensyaratkan hukuman mandatori penjara dan sebatan.
Di JOHOR BAHRU, enam pendatang tanpa izin rakyat Indonesia, masing-masing dihukum penjara lapan bulan dan satu sebatan, selepas didapati bersalah berada di negara ini secara haram selepas program pengampunan tamat 31 Julai lalu.
Mereka yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, mengaku memasuki negara ini tanpa dokumen perjalanan sah, selepas fakta kes dibacakan Pegawai Pendakwa Jabatan Imigresen negeri, Ismail Abdullah, di hadapan Majistret Norma Ismail.
Tiga warga Indonesia itu ditahan di tiga lokasi berasingan di sekitar bandar raya ini.
Mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) yang dikuatkuasakan 1 Ogos lalu, pendatang tanpa izin boleh hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya dan boleh disebat tidak melebihi enam kali, manakala rakyat tempatan itu ditahan mengikut Seksyen 56(1)(d) kerana melindungi mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda di antara RM10,000 hingga RM50,000 dan sebatan tidak lebih enam kali.
Pendatang tanpa izin dari Indonesia yang disabitkan kesalahan itu ialah Junaidi Mustafa, 22; Sudi Bebab, 24; Idris Rudin, 20; Sodikin Riduan, 30; Mahjinto, 33 dan Rokim Roman, 34.
Junaidi ditahan di Jalan Belibis, Taman Perling di sini, kira-kira jam 11.50 pagi pada 2 Ogos lalu, manakala Sudi dan Idris ditahan di Sungai Tiga, Tanjung Langsat, kira-kira jam 9 pagi pada 4 Ogos lalu.
Sodikin, Mahjinto dan Rokim ditahan pada jam 12.45 tengah malam di Batu 18 Kampung Sungai Tiram, Ulu Tiram, juga pada 4 Ogos lalu.
Semua tertuduh ditahan kerana berada dalam negara ini tanpa pasport sah dan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6 (1)(a)(d) Akta Imigresen 1959/1963 (pindaan 2002).
Dalam kes lain berasingan membabitkan pendatang asing, Norma menjatuhkan hukuman penjara tujuh bulan terhadap dua rakyat Singapura, Lim Say Koon, 39, dan Sim Hai Poh, 51, kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/1963.
Mereka ditangkap kerana gagal mengemukakan sebarang pas untuk berada di negara ini secara sah.
Di KOTA KINABALU, tiga warga asing termasuk dua wanita masing-masing dijatuhkan hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, selepas mengaku bersalah masuk dan menetap di negeri ini tanpa dokumen sah.
Hakim Nurchaya Arshad menjatuhkan hukuman itu ke atas warga Filipina, Basir Nurullah, 32, manakala Hakim Caroline Bee Majanil menjatuhkan hukuman ke atas dua rakyat Indonesia, Wati Selamat, 21, dan Nortati Bakri, 30.
Ketiga-tiganya didakwa mengikut Seksyen 51 (5) (b) Akta Imigresen 1959/63
[BERITA HARIAN : 12/8/2002 ]
|