Make your own free website on Tripod.com
BERITA SEMASA
KENYATAAN AKHBAR MENTERI DALAM NEGERI BERHUBUNG PENGUATKUASAAN PINDAAN AKTA IMIGRESEN 2002
Sembilan lagi warga asing kena hukum

KUALA LUMPUR, Isnin: Sembilan lagi pendatang tanpa izin, termasuk dua wanita di Sabah dan Johor dihukum mengikut Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002), hari ini.

Ini menjadikan setakat ini, 17 pendatang tanpa izin yang dikenakan hukuman mengikut undang-undang baru itu, yang mensyaratkan hukuman mandatori penjara dan sebatan.

Di JOHOR BAHRU, enam pendatang tanpa izin rakyat Indonesia, masing-masing dihukum penjara lapan bulan dan satu sebatan, selepas didapati bersalah berada di negara ini secara haram selepas program pengampunan tamat 31 Julai lalu.

Mereka yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, mengaku memasuki negara ini tanpa dokumen perjalanan sah, selepas fakta kes dibacakan Pegawai Pendakwa Jabatan Imigresen negeri, Ismail Abdullah, di hadapan Majistret Norma Ismail.

Tiga warga Indonesia itu ditahan di tiga lokasi berasingan di sekitar bandar raya ini.

Mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) yang dikuatkuasakan 1 Ogos lalu, pendatang tanpa izin boleh hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya dan boleh disebat tidak melebihi enam kali, manakala rakyat tempatan itu ditahan mengikut Seksyen 56(1)(d) kerana melindungi mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda di antara RM10,000 hingga RM50,000 dan sebatan tidak lebih enam kali.

Pendatang tanpa izin dari Indonesia yang disabitkan kesalahan itu ialah Junaidi Mustafa, 22; Sudi Bebab, 24; Idris Rudin, 20; Sodikin Riduan, 30; Mahjinto, 33 dan Rokim Roman, 34.

Junaidi ditahan di Jalan Belibis, Taman Perling di sini, kira-kira jam 11.50 pagi pada 2 Ogos lalu, manakala Sudi dan Idris ditahan di Sungai Tiga, Tanjung Langsat, kira-kira jam 9 pagi pada 4 Ogos lalu.

Sodikin, Mahjinto dan Rokim ditahan pada jam 12.45 tengah malam di Batu 18 Kampung Sungai Tiram, Ulu Tiram, juga pada 4 Ogos lalu.

Semua tertuduh ditahan kerana berada dalam negara ini tanpa pasport sah dan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6 (1)(a)(d) Akta Imigresen 1959/1963 (pindaan 2002).

Dalam kes lain berasingan membabitkan pendatang asing, Norma menjatuhkan hukuman penjara tujuh bulan terhadap dua rakyat Singapura, Lim Say Koon, 39, dan Sim Hai Poh, 51, kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/1963.

Mereka ditangkap kerana gagal mengemukakan sebarang pas untuk berada di negara ini secara sah.

Di KOTA KINABALU, tiga warga asing termasuk dua wanita masing-masing dijatuhkan hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, selepas mengaku bersalah masuk dan menetap di negeri ini tanpa dokumen sah.

Hakim Nurchaya Arshad menjatuhkan hukuman itu ke atas warga Filipina, Basir Nurullah, 32, manakala Hakim Caroline Bee Majanil menjatuhkan hukuman ke atas dua rakyat Indonesia, Wati Selamat, 21, dan Nortati Bakri, 30.

Ketiga-tiganya didakwa mengikut Seksyen 51 (5) (b) Akta Imigresen 1959/63

[BERITA HARIAN : 12/8/2002 ]


Dua majikan dituduh menggaji pendatang tanpa izin
Oleh AHMAD FAUZI MUSTAFA

JOHOR BAHRU: Seorang kontraktor pembersihan meminta dibicarakan, manakala seorang penjaja mengaku salah apabila dihadapkan secara berasingan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam, atas dakwaan menggaji pendatang tanpa izin, pada 5 Ogos lalu, selepas berakhirnya program pengampunan 31 Julai lalu.
Kedua-dua tertuduh adalah majikan pertama di negara ini yang dihadapkan ke mahkamah mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).
Tertuduh pertama, M K Ravindran, 55, dari Kim Teng Park, di sini, tidak mengaku salah di hadapan Majistret Mabel Muthiah, atas tuduhan menggaji enam pendatang tanpa izin dari Indonesia berusia di antara 21 hingga 37 tahun di Blok H, Pusat Beli Belah Lien Hoe di Jalan Sutera, Taman Sentosa, kira-kira jam 6.30 petang.

Pendatang tanpa izin berkenaan ialah Naima, 29; Marhana, 35; Kiptiyah, 32; Jumaena, 21; Samsiyah, 37 dan Sumina, 32. Keenam-enam mereka tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan atau permit kerja sah, kini ditahan reman dan akan didakwa secepat mungkin.

Mabel menetapkan ikat jamin RM25,000 bagi Ravindran dengan seorang penjamin manakala tarikh perbicaraan ditetapkan pada 9 Disember ini.

Tertuduh diwakili Mary Pereira, manakala pendakwaan dilakukan pegawai Imigresen Abdul Halim Hashim.

Ravindran dituduh mengikut Seksyen 55(B)(1) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002), yang boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 55B(3) akta yang sama.
Mengikut akta baru itu, pesalah boleh didenda maksimum RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali dan juga boleh dikenakan sebatan.
Di mahkamah majistret lain, Majistret Mohd Fairuz Mahmood menjatuhkan hukuman denda RM10,000 atau penjara tiga bulan terhadap seorang penjaja, Choo Yew Mun, 36, kerana menggaji seorang pendatang tanpa izin di Taman Daya, di sini, kira-kira jam 5.40 petang, 5 Ogos lalu.
Choo dituduh mengikut Seksyen 55B(1) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002). Pekerja Choo yang dikenali sebagai Rohini, 32, rakyat Indonesia, dipenjara 26 hari sejak 5 Ogos lalu, mengikut Seksyen 15 (4) akta sama.
Pegawai Imigresen Zawiyah Maulud bertindak sebagai pegawai pendakwa, manakala Choo dan Rohini tidak diwakili.
[ BERITA MINGGU: 11/08/02 ]