KENYATAAN AKHBAR
YAB DATO’ SERI ABDULLAH BIN HAJI AHMAD BADAWI
TIMBALAN PERDANA MENTERI
MERANGKAP MENTERI DALAM NEGERI
AKTA IMIGRESEN (PINDAAN) 2002
DAN TARIKH KUATKUASA
Adalah dimaklumkan bahawa Kerajaan telah meminda Akta Imigresen 1959/63 bagi memperuntukkan hukuman yang berat terhadap kesalahan memasuki Negara ini secara tidak sah, menggaji atau melindungi pendatang tanpa izin. Akta Imigresen (Pindaan) 2002 (Akta A1154) ini telah diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta telah mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong. Peruntukan-peruntukan dalam Akta A1154 ini akan berkuatkuasa pada 1 Ogos 2002.
2. Kesalahan dan hukuman yang akan dikuatkuasakan dalam Akta A1154 adalah seperti berikut :
(a) pendatang tanpa izin yang memasuki negara ini secara tidak sah, jika sabit kesalahan, didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali dan dikenakan sebatan tidak lebih daripada 6 sebatan.
(b) majikan yang menggaji pendatang tanpa izin, jika sabit kesalahan, didenda di antara RM10,000-RM50,000 bagi setiap pendatang tanpa izin atau dipenjara tidak lebih 12 bulan atau kedua-duanya sekali. Jika didapati majikan menggaji lebih daripada 5 orang pendatang tanpa izin pada masa yang sama, jika sabit kesalahan , dipenjara di antara 6 bulan hingga 5 tahun dan dikenakan sebatan tidak lebih daripada 6 sebatan.
(c) penghuni atau tuanpunya premis yang membenarkan mana-mana pendatang tanpa izin masuk atau berada di mana-mana premis, jika sabit kesalahan, penghuni atau tuanpunya premis tersebut boleh didenda di antara RM5,000-RM30,000 atau dipenjara tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap pendatang tanpa izin yang dijumpai di premis tersebut. Bagi kesalahan yang dilakukan buat kali kedua, penghuni atau tuanpunya premis tersebut boleh didenda di antara RM10,000-RM60,000 atau dipenjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali bagi setiap pendatang tanpa izin yang dijumpai di premis tersebut.
(d) orang yang melindungi pendatang tanpa izin, jika sabit kesalahan, boleh didenda di antara RM10,000-RM50,000 bagi setiap pendatang tanpa izin yang dilindungi. Jika di dapati pelindung melindungi lebih daripada 5 orang pendatang tanpa izin pada masa yang sama, jika sabit kesalahan, dipenjara di antara 6 bulan hingga 5 tahun dan dikenakan sebatan tidak lebih daripada 6 sebatan.
3. Memandangkan hukuman yang akan dikenakan bagi kesalahan-kesalahan yang disebut di atas adalah berat, Kerajaan atas dasar peri kemanusiaan dengan ini memberikan pengecualian kepada pendatang-pendatang tanpa izin yang berada di Malaysia pada ketika ini untuk pulang ke Negara asal tanpa dikenakan apa-apa tindakan undang-undang sebelum Akta A1154 berkuatkuasa pada 1 Ogos 2002. Selepas tarikh kuatkuasa, tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan dan sebarang rayuan mengenai perkara ini tidak akan dilayan.
4. Sehubungan dengan itu, Kerajaan mensihatkan agar para majikan hanya menggaji pekerja asing yang sah sahaja dan permiohonan untuk mengambil pekerja asing boleh dibuat di Kementerian Dalam Negeri. Bagi pendatang-pendatang tanpa izin yang masih berada dalam Negara, mereka adalah dinasihatkan untuk pulang ke negara mereka masing-masing dengan kadar segera sebelum tindakan undang-undang diambil.
|